Pada kali yang lepas, kami telah membincangkan dan menjelaskan mengenai syukur dalam kehidupan terutamanya sebagai seorang pelajar. Pelbagai cara dapat dilakukan untuk menunjukkan kesyukuran kita keatas segala nikmat kurniaan-Nya. Oleh sebab itu, pada kali ini kami mahu membincangkan mengenai kesan-kesan dan manfaat yang diperolehi oleh setiap orang yang tahu menghargai dan bersyukur keatas nikmat-Nya. Sudah tentu terdetik di setiap pemikiran semua orang termasuklah para sahabat sekalian mengenai apakah kesan atau manfaat yang akan diperolehi akibat mengamalkan sifat bersyukur ini. Sudah pasti kesan yang baik dan menyenangkan dapat dirasai apabila kita bersyukur.
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS. Ibrahim: 7)
Salah satu manfaat bersyukur ialah kita akan mendapat nikmat yang lebih baik dan bertambah-tambah daripada-Nya. Hal ini kerana, Allah menyukai hamba yang tahu bersyukur atas segala pemberiannya.
“Mengapa Allah akan menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.” (QS. An Nisaa’ : 147)
Contohnya, sebagai seorang pelajar, sudah pasti kita mengharapkan keputusan yang cemerlang dalam akedemik. Oleh sebab itu, sekiranya kita tidak mendapatkan kejayaan yang diimpikan, kita haruslah terus menyatakan syukur kepada-Nya kerana segala kejadian mempunyai hikmahnya tersendiri. Jika kita terus berusaha dan bersyukur, kita pasti akan menempa kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. Hal ini kerana, Allah hanya memberikan sedikit ujian untuk menguji sama ada kita tergolong antara orang-orang yang redha atas segala yang keadaan.
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat itu. Dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (QS. Ali Imran:145)
Tambahan lagi, seperti yang kita sedia maklum, bersyukur merupakan satu sikap yang baik dan disukai Allah. Jika kita bersyukur, kita dapat menambahkan pahala kita kerana sentiasa meredhai pemberian-Nya. Hadis diatas jelas menunjukkan bahawa Allah amat menyayangi kita dan menyukai sifat bersyukur.
Ibnu `Abbas menceritakan, Rasulullah bersabda, “Orang pertama yang akan dipanggil untuk masuk surga adalah orang-orang yang senantiasa memanjatkan puji syukur kepada Allah, yaitu orang-orang yang senantiasa memuji Allah dalam keadaan lapang dan dalam keadaan sempit” (Tanbihul Ghafilin 197)
Bersyukur merupakan satu amalan yang mulia sehinggakan orang yang bersyukur sentiasa mendapat keredhaan-Nya.
Sebagai seorang pelajar, kita menjalani kehidupan dengan berbagai-bagai perkara.
Contoh situasi yang dapat kami jelaskan disini ialah apabila seseorang pelajar tersebut mengalami kegagalan dalam ujian akedemiknya. Pelajar tersebut pastilah berasa risau dan sedih atas keputusan tersebut. Namun, dia seharusnya bersyukur kerana ia merupakan dugaan dan ujian untuk dia lebih berjaya pada masa akan datang. Pelajar tersebut akan lebih meningkatkan fokusnya semasa pembelajaran di dalam kelas dan semakin rajin mengulang kaji pelajaran untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali. Atas peringatan dan usaha yang diberikan, pelajar tersebut akan mendapat kejayaan yang lebih cemerlang berbanding sebelumnya.
Contoh lain pula ialah, kita sebagai pelajar IPGM-Kampus Pendidikan Islam bertuah kerana diberikan bantuan kewangan oleh pihak kerajaan dalam meneruskan pembelajaran dan kehidupan sebagai pelajar. Duit elaun yang kita terima sebagai pelajar PPISMP ialah sebanyak RM 430.00 dapat digunakan untuk membayar banyak keperluan. Oleh itu, kita haruslah bersyukur kerana tidak semua orang mendapat nikmat seperti ini. Salah satu situasi yang dapat dilihat apabila duit elaun seseorang pelajar telah habis digunakan untuk tujuan tertentu. Namun, apabila pelajar tersebut sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, dia mudah mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka seperti dimudahkan segala urusan dalam menerima ilmu, mendapat rezeki kerana dibelanja rakan lain dan lain-lain lagi.
Bersyukur mengajar kita sebagai seorang pelajar supaya sentiasa redha dan pasrah atas segala ketentuan-Nya. Contohnya, apabila kita sudah bergelar seorang guru, kita mudah merasai keredhaan walaupun mendapat anak murid yang nakal atau kita ditempatkan di kawasan sekolah yang kurang menyenangkan seperti kawasan edalaman. Dengan bersyukur, segala urusan dipermudahkan dan rezeki akan berlimpah-ruah. Malah, kita akan berasa sentiasa dekat dengan pencipta kita, iaitu Allah s.w.t.
Ada diantara kita yang hanya bersyukur apabila berada dalam keadaan kesusahan dan kesempitan. Contohnya, apabila kita mendapat tugasan kerja kursus yang banyak, ia memberikan tekanan kepada kita. Pada saat itu, kita memohon pertolongan daripada Allah dengan bersungguh-sungguh. Namun, apabila merasai sedikit kesenangan seperti mendapat markah yang cemerlang dalam kerja kursus tersebut, kita mudah lupa bahawa segala nikmat tersebut datang daripada-Nya. Malah, kita tidak melahirkan rasa bersyukur kita dengan betul seperti melakukan sujud syukur, malah kita meraikan dengan bersuka-ria bersama rakan-rakan lain di pusat membeli -belah.
Kebanyakan Manusia Tidak Bersyukur :
“Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezki kepada kamu dari langit dan bumi ? Tidak ada Tuhan selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?” (QS. Al-Fathir: 3)
“Dan ketika Kami (Allah) memberikan nikmat kepada manusia, ia memalingkan muka dan bersikap angkuh, dan ketika ia ditimpa keburukan ia berputus asa.” (QS. Al Isra’ : 83)Jika kita tidak bersyukur, pasti kita tidak diredhai Allah dan kehidupan kita tidak berasa senang. Kita sentiasa akan merasakan kekurangan dan kesusahan kerana menyesali dengan segala musibah dan dugaan yang dengan berfikiran negatif. Situasi tidak bersyukur ini menyebabkan kita menjadi seseorang yang tidak menghargai orang sekeliling dan mensia-siakan kehidupannya.
Seharusnya, kita bersyukur sama ada berada dalam keadaan senang ataupun dalam kesempitan. Hal ini kerana, segala yang terjadi datangnya daripada Allah dan segalanya mempunyai sebab dan hikmahnya yang tersendiri.
Ancaman bagi yang Tidak Bersyukur:
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS. Ibrahim: 7)
“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat.” (QS. Al Hajj : 38)
Kita haruslah bersyukur kerana kika tidak kita tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi.
Kesimpulannya, bersyukur merupakan satu sifat yang terpuji dan amat dusukai oleh Allah s.w.t. Setiap oarang yang bersyukur sama ada semasa mereka senang atau susah akan memperolehi nikmat yang lebih baik.